DIY bekas hidroponik

DIY bekas hidroponik

Teks : Liyana Anaqi

Suka berkebun? Tapi tiada ruang? Rumah apartment atau condo? Tiada masalah, hidroponik kan ada.

Set hidroponik agak mahal. Apa kata kita buat sendiri.

Barang-barang yang di perlukan : besen sederhana dalam (saya beli di kedai RM2.00), polisterin (boleh beli di kedai buku. Saya kitar semula dari kotak ikan), dan juga pot hidroponik.

Pertama sekali, potong polisterin mengikut saiz besen. Kemudian tandakan dan lubangkan mengikut saiz net pot.

Tandakan paras air mengikut ketinggian pot. Jangan sampai bahagian bawah pot tenggelam dalam air.

Isikan air sehingga paras yang di tandakan.

Ikhtiarkan sumbu untuk bahagian bawah  pot. Anda boleh guna kain buruk atau tali/benang yang menyerap  air. Pastikan kepanjangannya boleh sampai ke air.

Isikan media pilihan ke dalam pot dan aturkan ke dalam lubang. Tabur benih pilihan dan letakkan bekas hidroponik di tempat yang tidak terkena hujan. Pastikan bekas hidroponik mendapat cahaya mengikut keperluan  sayur yang di tanam.

Pembajaan hidroponik adalah menggunakan baja AB. Di bawah adalah contoh baja AB. Baja AB boleh di dapati dalam bentu serbuk yang perlu di bancuh sendiri, atau dalam bentuk yang siap di bancuh.

Selamat berkebun. Kini, tanah bukan lagi masalah, tiada tanah pun boleh berkebun.

Jamuan Aidilfitri sekolah 2016

Jamuan Aidilfitri sekolah 2016

Teks : Liyana Anaqi

Esok, Jumaat, sekolah Anaqiyun mengadakan jamuan Aidilfitri. Tahun ini, biskut bebola coklat mendapat tempat di hati anak-anak. Sudah beberapa kali dibuat, masih lagi meminta lagi. Esok, Asyraf dan Aqeef meminta mahu membawa bebola coklat untuk jamuan. Popcorn juga, tapi Mak belum pasti boleh buat ke tidak.

Bersemangat Asyraf dan Aqeef buat kuih. Walaupun hanya mencedok adunan ke dalam cawan kertas, itu pun sudah menyeronokkan.

Harap-harapnya, cukuplah bagi mereka berdua. 

Pendorong penyusuan ibu

Pendorong penyusuan ibu

Teks : Liyana Anaqi

Kalau saya tak susukan, anak tu lapar.
Kalau saya tak pam, anak tu lapar.
Kalau anak lapar, dia nangis.
Anak yang nangis tu anak saya.
Kenapa saya biar anak sendiri menangis?
Sayakah mak atau sayakah anak kecil?
Sayakah yang wajar berusaha atau patut dibiarkan sahaja anak itu berusaha sendiri?
Maka walaupun kerempeng, walaupun pecah gigi, walaupun nangis masa menyusu, walaupun pinggang rasa nak putus, saya tetap terus menyusu. Kerana saya mak, dia anak.

Itulah yang saya fikirkan sepanjang saya menyusukan empat orang anak. Penyusuan ibu bukanlah suatu yang mudah, ya di akui,; tetapi juga bukan suatu yang susah. Dengan azam dan tekad yang betul, Insyallah sesiapa sahaja boleh menyusukan anak sendiri.
Seperti orang lain, saya juga menghadapi liku-liku cabaran dalam penyusuan. Saya cuma tahu perlunya penyusuan eksklusif selama 6 bulan hanya 2 minggu sebelum bersalin anak pertama. Walaupun ada tersadung di peringkat permulaan, namun masih berjaya saya susukan anak pertama sehingga 3 tahun.
Saya melahirkan anak pertama dan kedua melalui pembedahan, dan saya mempunyai alahan kepada ubat tahan sakit rupanya. Ubat tahan sakit menyebabkan susu saya berkurangan. Saya mengetahui perkara ini bertahun-tahun selepas menjadi ibu. Saya perhatikan tindakbalas badan dengan setiap benda yang melepasi mulut saya. Namun ini tidak saya ketahui semasa baru bersalin, jadi saya beranggapan, semua orang susah pada permulaannya, dan saya berusaha sehabis baik untuk menyusukan anak. Ya memang perit, pedih dan susah. Tapi di hadapkan jua.
Mungkin saya kecewa dengan proses kelahiran anak melalui pembedahan, maka saya berhempas pulas ‘membayar’ harga kegagalan saya bersalin normal dengan memastikan anak-anak saya mendapat haknya, iaitu susu ibu. Mungkin. Saya begitu protektif dengan anak-anak.
Setelah beberapa tahun menyusukan, saya berpendapat penyusuan ibu ini cuma memerlukan sedikit azam ibu, dan kurangkan berfikir benda-benda negatif yang mungkin iya mungkin tidak berlaku.
Sekiranya ibu berkerja, fahamkan suami tentang hasrat kita. Sebagaimana itu anak kita, dia anak suami juga. Jangan malu meminta tolong dan membahagikan tugas. Saya juga pernah bekerja dan memerah susu, Alhamdulillah suami banyak membantu dalam pengurusan susu perahan, dan juga kerja rumah supaya saya tidak terlalu penat.
Kini, saya masih menyusukan anak ketiga, 2 tahun 6 bulan, dan anak keempat setahun 5 bulan. Penat? Ya. Seronok? Ya. Bila mahu berhenti? Entahlah, selagi mereka masih mahu.
Kebun kecil : kacang panjang

Kebun kecil : kacang panjang

Teks : Liyana Anaqi
Alhamdulillah, selepas bendi dan terung habis berbuah, kini kacang panjang pula membuahkan hasil. Masih ada rezeki sayur dari kebun kecil Anaqi.
Dua bulan lepas, biji benih kacang baru di tabur. Kacang panjang amat mudah bercambah, tidak perlu disemai dahulu, boleh terus di tabur ke batas. Batas kami di buat dari papan terpakai. Panggar untuk pokok kacang memanjat juga dari papan terpakai. Sekiranya di cat putih, paggar itu boleh jadi lebih cantik.
Dalam masa 3 ke 5 hari selepas bunga menjadi buah, kacang panjang sudah boleh di petik. Kacang yang muda sedap dan rangup di colek sambal atau budu. Nampaknya, kami akan bersayur kacang selama beberapa minggu.
DIY bekas pensel warna

DIY bekas pensel warna

Teks :Liyana Anaqi

Apabila ada anak-anak di rumah, tidak boleh lari dari adanya pensel warna. Lama saya berfikir, bagaimana mahu menguruskan pensel warna anak-anak. Saya perhatikan mereka suka menggunakan hanya satu atau dua warna sahaja. Mana warna yang lain, kenapa tidak digunakan. Selama ini, semua pensel warna disimpan di dalam satu besen sahaja, bercampur-campur. Saya fikir, kena ada cara lain supaya anak-anak mudah melihat dan mencapai pensel warna.

Saya mulai mencari idea di internet, ada beberapa bekas pensel warna DIY yang saya suka. Seperti dibawah:

Nampak kemas dan tersusun, warna-warna dibahagikan mengikut jenis, mudah dilihat dan di ambil. Bekas di atas cuma menggunakan ‘paper roll‘ tisu dapur. Cuma, pensel warna anak-anak banyak yang pendek, mesti yang pendek akan jatuh ke bawah dan sukar di capai.
Saya jumpa pula seperti di bawah ini. Cantik, dan kemas. Semua pensel, tidak kira panjang dan pendek, senang dilihat dan diambil. Cuma, masalahnya, saya jarang membeli minuman atau susu dalam botol plastik. Saya tiada bahan untuk ini. Design nya saja saya suka.
Setelah di belek timbunan barang-barang kitar semula saya, saya berpuas hati dengan kotak minuman sahaja. Kotak minuman di bahagi kepada dua bahagian dan di lekatkan bersama-sama. 
Siap!. Mudah dan tiada kos. Walaupun rupanya kurang cantik berbanding dua design yang saya jumpa di internet, tetapi saya sudah berpuas hati. Anak-anak saya lebih bersemangat menggunakan pelbagai warna, bagai baru terjumpa warna-warna baru. Nanti, bila cukup botol plastik, boleh di DIY lagi ya. 

Mak, Ustaz kata nafsu perempuan ada 9.

Mak, Ustaz kata nafsu perempuan ada 9.

Teks : Liyana Anaqi

“Mak, ustaz kata orang perempuan ada nafsu 9, orang lelaki ada nafsu 1, sebab tu orang perempuan suka membeli belah, ada banyak nak dibeli”

Saya tarik nafas, otak ligat berfikir bagaimana nak ‘tackle’ isu ini kepada sesuatu yang bermanfaat.

“Betullah tu, kemudian akal pula macam mana?”

“Lelaki ada 9 akal, perempuan ada 1 akal”

“Asyraf tengok ramai orang lelaki ke ramai orang perempuan yang pandai?”

“Sekolah Asyraf lagi ramai cikgu perempuan. Orang perempuan ke lagi pandai walaupun 1 akal?”

Wah, lagi ligat otak saya berlari!

Allah beri kelebihan pada orang lelaki, kerana Allah letakkan tanggungjawab besar kepada lelaki. Allah beri akal dan tenaga yang lebih, supaya orang lelaki boleh menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna, menjaga keluarga, masyarakat dan seterusnya agama dan negara.

Lihat contoh besar kita, siapa? Nabi Muhammad. Lelaki ke perempuan? Lelaki. Ya lelaki. Betapa bagusnya Nabi Muhammad, dapat menjaga keluarga, tetap membuat kerja-kerja rumah yang dianggap kerja perempuan, berniaga, jadi imam, malah pergi berperang. Maka sesuailah dengan 9 akalnya dan besar tenaganya. Menjadi orang lelaki, kena contohi Nabi Muhmmad, kena contohi ayah yang rajin berkerja dan menjaga kita semua.

Memang pada akhir zaman, Allah kata akan ramai manusia yang terpesong, tidak begitu menjaga agama, tidak menjaga keluarga dengan sepatutnya, tapi Mak harap anak-anak Mak akan jadi orang yang baik dan bertanggungjawab.

Asyraf faham?

Alhamdulillah, anak 9 tahun itu mengangguk dan menyebut berazam menjadi lelaki yang lebih baik.

Alhamdulillah, atas nikmat ini.

Bila anak lelaki tidak bertumbuk

Bila anak lelaki tidak bertumbuk

Teks : Liyana Anaqi

Ya, anak-anak lelaki saya tidak bertumbuk. Gaduh pukul memukul pun jarang-jarang sekali. Tapi mak masih stress? Ya.

Saya ada 3 orang anak lelaki (setakat ini), 9, 7, dan 3 tahun. Tak gaduh ke? Gaduh. Setiap hari ada aje yang digaduhkan, cuma mereka tidak bertumbuk, tidak memukul. Kesemua anak saya suka ‘gaduh mulut’. Setiap hari, riuh rumah kami dengan mereka bergaduh. Dari sekecil-kecil hal, siri kartun dah ditonton atau belum sehingga berebut bantal pun digaduhkan. Masing-masing ada pendapat sendiri, ada benda hendak disuarakan. Naik bingit telinga mak. Adakala mahu je saya suruh tumbuk ajelah, sudah-sudahlah bercakap.

Tiga anak lelaki yang banyak kerenah.

Selalunya, saya biarkan sahaja mereka mencari jalan keluar dari permasalahan yang didebatkan. Sekiranya ada ditanya, baru saya campur tangan. Dan saya sentiasa mencari peluang untuk menyelitkan sedikit pengajaran di dalam setiap konfik. Tiada pihak yang menang (kerana selalunya mereka sudah lupa punca perbahasan), dan muncul cerita lain yang lebih menarik minat, seperti cerita Nabi dan sahabat, sedikit pelajaran sains yang diselitkan.

Syukur Alhamdulillah, jarang-jarang sekali ada adegan kasar di dalam rumah. Saya masih bersyukur walaupun terpaksa menadah telinga bagai berada di mahkamah setiap hari.

Gaya hidup minimalist

Gaya hidup minimalist

Teks : Liyana Anaqi

Kini, terdapat suatu revolusi dalam trend gaya hidup, iaitu minimalist. Minimalist mulai mendapat perhatian dalam dunia yang dikuasai oleh consumerism. Dalam suasana dunia yang menjadikan pemilikan harta benda, fesyen dan gaya hidup mewah sebagai kayu ukur kejayaan hidup seseorang; minimalist mendapat tempat di hati mereka yang mencari sesuatu yang lebih bermakna di dalam hidup selain benda fizikal.

Menjadi minimalist membolehkan tumpuan diberikan kepada sesuatu yang lebih bermakna selain dari menjaga harta benda yang tidak diperlukan. Apabila banyak benda di ‘buang’ dari hidup, kita akan mempunyai lebih banyak masa, tenaga dan wang untuk perkara lain.

Bagaimana mahu bermula?

Sejujurnya, saya juga masih dalam proses mengurangkan barang-barang dalam rumah. Sekiranya orang lain mempunyai masalah untuk membuang harta yang disayangi kerana semua masih baru, saya pula sayang mahu membuang barang yang sudah lama. Hendak didermakan, tidak layak kerana sudah lusuh atau usang, hendak dibuang atau dikitar semula, sayang. Jadi, bagaimana?

Pertamanya, jangan membeli barangan yang tidak betul-betul perlu. Kenalpasti barangan (atau baju atau makanan) yang betul-betul perlu sahaja, baru dimasukkan dalam senarai untuk dibeli. Boleh wujudkan senarai belian ini di pintu peti sejuk, masukkan nama barangan apabila rasa perlu. Ini memudahkan ketika hendak membeli nanti, tidaklah masih berfikir apa yang perlu apa yang tidak. Ini juga mengelakkan dari membeli secara berlebihan.

Sekiranya ada sesuatu barangan yang berkenan di hati, jangan terus mengikut kata hati dan beli. Simpan dahulu hasrat itu sekurang-kurangnya seminggu, lihat dulu, pegang dulu, kenali dulu brangnya; sekiranya selepas seminggu masih lagi terasa berkenan di hati, maka belilah. Selagi boleh ditangguh, tangguhkan dulu hasrat. Adakalanya, seiring waktu, kita sudah tiada keinginan untuknya lagi.

Declutter
Decluttering adalah perkara yang sukar bagi saya. Susah bagi saya melepaskan barangan saya. Semuanya nampak berharga. Semuanya saya sayang. Jadi saya buat berdikit-dikit. Saya tidak mampu untuk declutter pada masa yang ditetapkan, jadi saya sediakan satu sistem untuk membolehkan saya ‘membuang’ tanpa rasa bersalah.

Saya sediakan beberapa bekas yang dikahskan untuk barangan yang perlu ‘dibuang’ : kertas, botol, buku, pakaian. Setiap kali saya terfikir bahawa barang ini boleh di buang, terus saya masukkan ke bekas/kotak yang disediakan. Satu bekas besar untuk mainan kanak-kanak. Saya cuba untuk kluarkan mainan secara bergilir, yang man tidak digemari anak-anak, atau rosak, terus di masukkan ke kotaknya. Apabila penuh mana-mana bekas ini, ia akan di hantar ke pusat kitar semula. Baju-baju lama juga di terima di pusat kitar semula.

Alhamdulillah, kami suami isteri bersetuju untuk meminimakan hiasan rumah dan perabot sejak awal perkahwinan, jadi kami tiada lebihan dari aspek itu.

Pengurusan pakaian akan saya bincangkan di post lain. Pakaian memang menjadi satu isu besar dalam menjadi minimalist. Bagaimana hendak mengenal pasti baju-baju yang perlu dilepaskan.

Sebenarnya apakah tujuan menjadi minimalist? Dengan berkurangnya barangan di dalam rumah, masa yang diperlukan untuk menguruskan rumah akan berkurangan. Ini akan nampak jelas jika jumlah pakaian dalam rumah yang berkurangan. Kita akan mendapat lebihan masa yang boleh digunakan untuk sesuatu yang kita suka, samada beraktiviti bersama anak-anak, membaca atau berhobi. Dengan berkurangnya pengurusan barangan dalam rumah juga bermaksud berkurangnya keperluan kewangan. Wang yang berlebihan boleh digunakan untuk melunaskan hutang, atau dikumpul untuk mengembara.

Tiada suatu jalan salah atau betul untuk menjadi minimalist. Setiap individu mempunyai personaliti berbeza dalam menentukan apa yang perlu dan apa yang tidak perlu dalam hidup masing-masing. Mungkin anda boleh mulakan dengan melihat mana-mana idola minimalist yang paling sesuai di hati anda, dan sesuaikan dengan gaya hidup anda sendiri. Ingat, setiap insan itu unik, tidak perlu mengikut 100% sesiapa pun.

Cabaran minimalist
Semua pilihan bukanlah tanpa cabaran. Sesungguhnya, kita sedang hidup dalam masyarakat yang memandang tinggi kepada perkara materialistik. Apabila membuat pilihan untuk hidup dengan lebih ringkas, pandangan serong dan tohmahan tidak dapat dielakkan. Akan ada situasi double standard apa bila orang lain hanya melihat fizikal luaran. Oleh itu, sekiranya memilih sesuatu gaya hidup, hendaklah disertakan ilmu dan azam yang kuat. Ketenagan hati apabila menjalani gaya hidup ini sangat berbaloi dengan cabaran yang dihadapi.

Sedekah meluaskan rezeki. Tapi nak sedekah pada siapa?

Sedekah meluaskan rezeki. Tapi nak sedekah pada siapa?

Teks : Liyana Anaqi

Dari Abu Hurairah, ia berkata : Rasulullah s.a.w bersabda “ Barangsiapa yang bersedekah sebesar biji kurma dari usahanya yang halal , maka Allah akan menerima sedekahnya itu dengan tangan kanan-Nya, kerana sesungguhnya Allah hanya mahu menerima sedekah dari usaha yang halal, dan akan memberi tambahan kepada pemiliknya seperti seseorang di antara kamu yang terus menambah tabungnya yang sedikit, sampai menjadi gunung .” ( HR Bukhari dan Muslim )

Bersedekah dan berinfaq akan meluaskan pintu-pintu rezeki. Tetapi pada pihak mana yang ingin di sedekahkan, dan berapa nilai? Saya ada sedikit sahaja, nak sedekah berapa?

Saya guna sifir 10%, sedekahkan 10% dari pendapatan mingguan. Tak kisah berapa pun nilainya, hatta RM1.00, tetap lepaskan 10% itu. Percayalah, lebih senang melepaskan RM1 itu dari RM100, walaupun nilainya sama sahaja, tetap 10% dari pendapatan. Jadi, usah rasa segan atau rasa tidak layak bila hanya mampu memberi RM1.00. Pilih satu hari untuk anda kira akaun mingguan, saya pilih hari Jumaat. Berhenti kerja-kerja lain dan cuma tumpukan pada pengiraan akaun. Ringan rasa hati bila tanggungjawab itu dilunaskan.

Allah akan ganti lebih lagi dari amaun yang di dermakan. Tapi, nak derma kepada siapa?

Di Malaysia ada banyak badan NGO yang memberikan khidmat kepada masyarakat dengan digerakkan oleh wang sumbangan. Antara yang aktif seperti, Viva Palestina, Aqsa Shariff. Di sini saya ingin kongsikan badan kegemaran saya iaitu Islamic Relief Malaysia. Boleh lawati di laman web http://islamic-relief.org.my/

Islamic Relief Malaysia

IRM membantu orang susah di dalam dan luar negara. Antara aktiviti mereka yang saya suka ialah pemberian bantuan kepada asnaf dan orang susah dalam bentuk bekalan makan setiap bulan, bukan dalam bentuk bantuan kewangan. Kita sedia maklum, sesetengah orang yang susah mempunyai ahli keluarga yang kurang baik, yang mungkin akan mengambil kesempatan keatas bantuan kewangan yang diberikan. Dengan memberikan bantuan dalam bentuk makanan ruji seperti beras, minyak, gula, tepung dan biskut; makanan mereka untuk bulan berikutnya telah terjamin.

Bantuan luar negara termasuk menyediakan bekalan air bersih di pedalaman, bekalan elektrik untuk petani luar bandar. Bantuan musim sejuk dan bantuan makanan juga diusahakan.

Projek tandas wanita di Pakistan

Bantuan Ramadhan 2016 serata dunia.

Sebenarnya saya amat berminat untuk menyertai tim IRM, apakan daya komitmen keluarga tidak mengizinkan. Cukuplah sekadar dapat membantu dari jauh.

Nak berbakti bersama IRM? Boleh klik ke link berikut :
http://www.islamic-relief.org.my/donate-now/index.php?mod=pages&opt=online

Pilih bahagian mana yang berkenan di hati. Saya yang hanya mampu derma sedikit memilih MySedekah. 🙂 

Garam Epsom dalam berkebun

Garam Epsom dalam berkebun

Teks : Liyana Anaqi

Adakah garam epsom bagus untuk pokok?

Garam epsom atau hydrated magnesium sulphate  mengandungi komponen yang penting dalam tumbesaran dan pencambahan biji benih. Kebanyakan baja komersial menambah magnesium ke dalam campurannya untuk meningkatkan kadar penghasilan daun baru yang lebih sihat dan buah yang lebih manis. Bagi mereka yang menggunakan kaedah organik, penggunaan garam epsom dapat mengelakkan penggunaan baja kimia.

Antara faedah penggunaan garam epsom adalah seperti berikut.

1. Meningkatkan kadar percambahan benih. Campurkan 1 cawas garam epsom ke 100 kaki persegi tanah sebelum menabur biji benih.

2. Meningkatkan penyerapan nutrien. Penyerapan nutrien terutamanya micronutrien adalah penting untuk tumbesaran pokok dan penghasilan buah.

3. Membantu mengelakkan kejutan kepada pokok apabila diubah. Taburkan sedikit garam sebelum memindahkan anak pokok baru. Pastikan lapisi sedikit tanah di atas garam supaya tidak terkena akar pokok secara langsung. Garam epsom menggalakkan pertumbuhan akar yang kuat.

4. Menghijaukan daun. Taburkan garam epsom ke pokok yang nampak kekuningan seminggu sekali untuk hasil yang baik.

5. Daun kerinting atau bergulung menunjukkan kekurangan magnesium dalam tanah. Taburkan garam epsom untuk melihat hasil yang berbeza.

6. Menghalau makhluk perosak. Struktur garam epsom yang berablur an tajam, dapat mengelakkan siput dan lintah dari mendekati pokok tanaman.

7. Menghasilkan buah yang lebih manis. Kadar kemanisan dalam buah dan sayur berkait dengan kandungan mineral di dalamnya. Pembajaan dengan baja yang mengandungi mineral mampu menghasilkan buah yang lebih sedap. Mineral juga memberikan kesan yang baik kepada pokok-pokok bunga. Cuba taburkan garam epsom di sekeliling pokok ros, dan lihatlah hasilnya nanti.

8. Pembunuh rumpai. Campurkan 2 caan garam epsom dengan 1 gelen cuka. Kemudian campurkan sedikit sabun pencuci pinggan. Masukkan campuran ini ke dalam botol semburan dan semburkan ke rumapai dan rumput liar, jauh dari pokok tanaman.

Garam epsom mudah didapati dengan murah di kedai-kedai kesihatan. Penggunaan garam epsom bersama-sama baja lain dapat memberikan kesan yang baik untuk kebun anda.