Browsed by
Category: Uncategorized

Bunga apa?

Bunga apa?

Teks : Liyana Anaqi

Antara keseronokan berkebun ialah memerhatikan perubahan yang berlaku setiap hari dalam kebun. Contohnya, baru je semalam pokok kacang panjang mengeluarkan bunga, hari ini sudah nampak buahnya, esok lusa semakin panjang dan boleh di petik. Menjadi kepuasan melihat setiap perubahan. Ada juga timbul rasa rendah hati, betapa besar dan agungnya kuasa Allah, tiada suatu pun yang saya mampu ubahkan tanpa kuasaNya. Mencambahkan benih jua tidak bisa, bagaimana mungkin membuatkan pokok mengeluarkan bunga dan buah.
Santai-santai hari ini, mari lihat koleksi gambar bunga sayur-sayuran di kebun kecil saya.
Ini bunga petola. Kuning terang, memanggil haiwan pendebungaan. Bunganya banyak, tetapi tidak semua menjadi buah. Siapa sangka, bunga kecil tapi buahnya besar dan panjang.
Bunga betik. Betik ada pohon jantan dan betina. Tidaklah saya ketahui bagaimana mengenal antara dua itu. Alhamdulillah, pohon ini betina. Pohon jantan tidak berbuah.
Bunga telang. Ini bukan sayur tapi edible flower, bunga yang boleh di makan. Menjadi pewarna biru dalam makanan. Juga boleh dijadikan sirap.
Bunga terung, cantik ungu. Ada kelainan warna di halaman. Pokok terung, sekali ia berbuah, ia akan terus berbuah banyak sehingga tua. Memang lumayan walaupun hanya ada satu atau dua pokok sahaja.
Jarang- jarang nampak bunga ini. Ini bunga sawi. Sengaja saya biarkan sawi tua dan berbunga. Saya nak lihat penghasilan biji benihnya.
Bunga kangkung yang putih bersih. Tanam kangkung dalam bekas polisterin atau pasu, supaya ia tidak merebak terlalu cepat. Penuh laman nanti. 

Antara bunga kegemaran saya, bunga labu. Walaupun belum pernah berjaya berbuah ranum, namun ia masih berbunga tak putus putus.
Walaupun laman kecil, Insyallah semua orang mampu berkebun. Selain sebagai sumber makanan, berkebun juga boleh menjadi satu terapi untuk diri. Kita tidak boleh menggesa tumbuhan supaya bertindak cepat mengikut kemahuan kita. Di sini, berkebun mengajar kita supaya lebih bertenang, memupuk kesabaran dan memperlahankan rentak hidup.
Menjaga dan merawat tanah gersang yang suatu masa dahulu langsung tiada hidupan, memberikan suatu kepuasan apabila melihat pokok-pokok mula tumbuh dan memberi hasil. Perlahan-lahan, haiwan kecil mulai mendiami kebun kami. Burung-burung, rama-rama, mulai datang. Baru-baru ini, kumbang dan pepatung mulai wujud. Anak-anaklah yang seronok mengenal dan mengejar serangga. Alhamdulillah, masih boleh jumpa selain dari dalam buku bacaan. 
Moh berkebun.
Self Watering Container.

Self Watering Container.

Satu sistem pengairan untuk pokok berpasu (potted plants). Kaedah ini sesuai untuk pokok buah (limau, tomato, terung). pokok bunga dan sayuran. Tidak lagi perlu menyiram pokok setiap hari, cuma perlu siram sekiranya air dalam simpanan habis. Tak perlu bimbang lagi jika tidak sempat menyiram.

Pokok betik dan pokok limau dalam pasu SWC

Idea SWC adalah seperti berikut. Saya doodle saja ya, harap boleh faham 🙂
Batu kerikil di dasar pasu bertindak sebagai simpanan air, Tong plastik pula adalah untuk memaksimumkan simpanan air (reservoir) tanpa ada bendasing. Air akan menyerap sedikir demi sedikit untuk memastikan tanah di bahagian atas sentiasa dalam keadaan lembab, seterusnya memberi bekalan air kepada pokok. Pasu hendaklah tidak berlubang supaya dapat menakung air. Lubang overflow perlu di buat supaya air yang berlebihan semasa penyiraman atau hujan, dapat mengalir keluar. Ini akan menyelamatkan akar pokok dari terendam di dalam air dan membusuk. Bagi pasu besar, paip PVC perlu supaya simpanan air boleh ‘bernafas’ ( pengliran oksigen untuk air dan akar pokok).

Jom, langkah demi langkah SWC pot.

Pertama, sediakan tong plastik. Kali ini saya gunakan tong minyak 5L. Kerat kepada 2 bahagian, boleh guna untuk 2 SWC pot. Lubang-lubangkan  sisi botol supaya air boleh lalu dengan senang.
Saya guna besi BBQ, panaskan dan cucuk lubang.

Kemudian, sediakan pasu. Lubangkan sisi pasu, untuk ruang overflow. Dan simenkan dasar pasu yang berlubang.

Tunggu simen kering, baru boleh teruskan ke langkah seterusnya

Letakkan pasu di tempat yang sesuai. Masukkan tong plastik, dan isikan batu kerikil. Boleh guna apa sahaja jenis batu-batu. Saya guna batu buangan pembinaan dan jubin lantai terpakai, dipecah-pecahkan kepada saiz kecil. Jangan lupa paip pvc untuk ‘bernafas’ ya
Isikan tanah yang sesuai. Gunakan kompos juga untuk tanaman yang sihat.
Siap. Bolehlah ditanam pokok-pokok yang disukai. Mulakan siraman pertama sehingga air melimpah keluar dari lubang overflow. Ini menandakan air sudah penuh dalam simpanan reservoir. 
Selamat berkebun.
Pokok limau yang tumbuh di kompos, dipindahkan ke SWC pot.

Masak popcorn di rumah tanpa periuk ajaib.

Masak popcorn di rumah tanpa periuk ajaib.

Teks : Liyana Anaqi

Kami suka popcorn. Anda bagaimana? Makanan ringan yang sedap bagi orang dewasa dan kanak-kanak. Sekiranya anda seperti saya yang agak cerewet bila membeli popcorn, mungkin anda boleh membuatnya sendiri di rumah. Jadikan popcorn versi lebih sihat. Tiada periuk ajaib? Tiada masalah.

Homemade popcorn

Bahan-bahannya :
Corn kernel (boleh didapati di kedai-kedai pembekal bakeri)
Minyak sawit atau minyak kelapa
Pemanis (gula atau madu)
Mentega.
Cara-caranya :
1. Panaskan lebih kurang 3 sudu minyak dalam kuali. Masukkan 2 3 biji kernel ke dalam minyak. Apabila kernel pop, maka minyak telah panas.
Saya guna minyak kelapa dara, jadi tidak nampak minyaknya.

2. Tutup api, dan masukkan kernel ke dalam minyak.Anggaran cuma terdapat selapis kernel didalam minyak tanpa bertindan. Kemudian, kira 1 hingga 30. Ini adalah tips supaya kesemua kernel pop serentak dan mengurangkan bilangan yang hangit. 
Maaf, gambar bergegar. Mari kira beramai-ramai. Satu….

3. Tutup kuali dengan tudung periuk, dan buka api kecil ke sederhana. Selepas seketika, sudah boleh kedengaran bunyi pop pop. Tunggu sehingga bunyi pop pop berkurangan dan seterusnya hilang. Boleh buka tudung periuk.
Puff, dah kembang.

4. Keluarkan popcorn dari kuali. Popcorn ini sudah boleh di nikmati, namun untuk lebih sedap, mari kita perisakan dia.
5. Dalam kuali yang sama, panaskan sedikit gula sehingga ia cair. Hati-hati jangan sampai hangus. Apabila gula sudah cair, masukkan sepotong mentega. Setelah mentega cair, masukkan semula popcorn tadi dan kacau untuk sebatikan.
Alhamdulillah, siap. Mudah, cepat dan jimat. Tips tambahan : boleh gunakan periuk stock pot ganti kuali untuk lebih mudah pengendalian.

Pembuka madah pemula ceritera

Pembuka madah pemula ceritera

Teks : Liyana Anaqi

Assalamualaikum dan salam sejahtera, semoga kita semua sentiasa berbahagia dalam menjalani hidup.

Saya, Nur Liyana binti Abd Hamid, berasal dari Pulau Pinang. Dilahirkan pada November 1983 dan merupakan anak sulung daripada 5 beradik. Telah berkahwin dan mempunyai 4 cahayamata.

Mendapat pendidikan rasmi terakhir di Universiti Malaya. Dan masih belajar dari alam sehingga sekarang. Pada asalnya, saya bercita-cita menjadi wanita berkerjaya, namun ianya berubah selepas mendapat anak pertama. Siapa sangka kehadiran insan kecil mampu merubah azam yang kukuh selama ini.

Saya berhenti bekerja menjadi Pegawai Penyelidik setelah mendapat berita kandungan kedua. Persiapan berhenti kerja telah dilakukan sejak setahun sebelumnya. Saya menjalankan perniagaan online secara kecil-kecilan. Selepas berhenti, perniagaan mula dikembangkan perlahan-lahan sambil menumpukan perhatian kepada anak-anak.

Setelah 4 tahun berhenti, butik sulung dibuka. Ia adalah kesinambungan kepada perniagaan online dijalankan. Namun, ia tidak bertahan lama, cuma 2 tahun. Kedai di tutup atas banyak sebab peribadi yang saya sendiri tidak dapat korbankan demi kemajuan bisnes. Kedai yang maju dan tiada saingan di tempat saya terpaksa saya korbankan. Saya kembali ke rumah dan kembali menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang di sukai iaitu berkebun, menjahit, melakukan semua aktiviti dengan anak-anak. Pengalaman 2 tahun berkedai meletakkan saya di suatu tempat di mana saya terpaksa memilih di antara perkara-perkara penting dalam hidup. Ia merupakan pengalaman yang sangat berharga (dan mahal).

Kini, saya selesa di rumah, dengan objektif baru yang lebih mantap harapnya. Saya masih belajar dan akan terus belajar.

Kewujudan blog ini diharapkan  dapat merekodkan catatan dan tips dalam menjalani kehidupan seharian.

Saya boleh dihubungi melalui emel liyanahamid@gmail.com atau Facebook ;www.facebook.com/liyana.anaqi