Bunga apa?

Bunga apa?

Teks : Liyana Anaqi

Antara keseronokan berkebun ialah memerhatikan perubahan yang berlaku setiap hari dalam kebun. Contohnya, baru je semalam pokok kacang panjang mengeluarkan bunga, hari ini sudah nampak buahnya, esok lusa semakin panjang dan boleh di petik. Menjadi kepuasan melihat setiap perubahan. Ada juga timbul rasa rendah hati, betapa besar dan agungnya kuasa Allah, tiada suatu pun yang saya mampu ubahkan tanpa kuasaNya. Mencambahkan benih jua tidak bisa, bagaimana mungkin membuatkan pokok mengeluarkan bunga dan buah.
Santai-santai hari ini, mari lihat koleksi gambar bunga sayur-sayuran di kebun kecil saya.
Ini bunga petola. Kuning terang, memanggil haiwan pendebungaan. Bunganya banyak, tetapi tidak semua menjadi buah. Siapa sangka, bunga kecil tapi buahnya besar dan panjang.
Bunga betik. Betik ada pohon jantan dan betina. Tidaklah saya ketahui bagaimana mengenal antara dua itu. Alhamdulillah, pohon ini betina. Pohon jantan tidak berbuah.
Bunga telang. Ini bukan sayur tapi edible flower, bunga yang boleh di makan. Menjadi pewarna biru dalam makanan. Juga boleh dijadikan sirap.
Bunga terung, cantik ungu. Ada kelainan warna di halaman. Pokok terung, sekali ia berbuah, ia akan terus berbuah banyak sehingga tua. Memang lumayan walaupun hanya ada satu atau dua pokok sahaja.
Jarang- jarang nampak bunga ini. Ini bunga sawi. Sengaja saya biarkan sawi tua dan berbunga. Saya nak lihat penghasilan biji benihnya.
Bunga kangkung yang putih bersih. Tanam kangkung dalam bekas polisterin atau pasu, supaya ia tidak merebak terlalu cepat. Penuh laman nanti. 

Antara bunga kegemaran saya, bunga labu. Walaupun belum pernah berjaya berbuah ranum, namun ia masih berbunga tak putus putus.
Walaupun laman kecil, Insyallah semua orang mampu berkebun. Selain sebagai sumber makanan, berkebun juga boleh menjadi satu terapi untuk diri. Kita tidak boleh menggesa tumbuhan supaya bertindak cepat mengikut kemahuan kita. Di sini, berkebun mengajar kita supaya lebih bertenang, memupuk kesabaran dan memperlahankan rentak hidup.
Menjaga dan merawat tanah gersang yang suatu masa dahulu langsung tiada hidupan, memberikan suatu kepuasan apabila melihat pokok-pokok mula tumbuh dan memberi hasil. Perlahan-lahan, haiwan kecil mulai mendiami kebun kami. Burung-burung, rama-rama, mulai datang. Baru-baru ini, kumbang dan pepatung mulai wujud. Anak-anaklah yang seronok mengenal dan mengejar serangga. Alhamdulillah, masih boleh jumpa selain dari dalam buku bacaan. 
Moh berkebun.
(Visited 60 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *