5 perkara penting apabila menghadiri kelas dengan anak kecil

Teks : Liyana Anaqi

Menjadi impian ramai ibu-ibu untuk menghadiri kelas-kelas yang ditawarkan dari masa ke masa. Bukan mudah bagi ibu-ibu yang mempunyai anak kecil untuk menghadiri mana-mana kelas. Kebanyakan kelas tidak menyediakan kemudahan untuk anak-anak kecil. Namun, masih ada kelas, kursus yang ‘baby friendly’, menyediakan kemudahan bilik untuk ibu atau memberi kelonggaran membawa anak ke dalam kelas.

Antara perkara yang patut di ambil berat oleh ibu (dan bapa) apabila membawa anak kecil ke kelas ialah :

1. Pastikan semua keperluan anak disediakan dengan mencukupi. Pakaian, kain untuk mengelap, lampin, kain lapik sekiranya anak mahu tidur, snek kudapan untuk anak, air minuman, dan juga bahan-bahan aktiviti untuk anak, seperti buku atau mainan.

2. Anak kecil juga penat. Oleh itu, pastikan ibu mengambil kira masa untuk susukan dan tidurkan anak. Sekiranya dia letih dan tidak dilayan, anak akan merengek dan bising. Ini akan mengganggu tumpuan kita dan ibu-ibu lain. Lampin perlu ditukar dengan kerap, sekiranya berpeluh semasa bermain dengan kawan-kawan, ia perlu ditukar, agar anak lebih selesa untuk tidur. Bonus bila anak tidur di dalam kelas, kita boleh memberikan tumpuan yang lebih.

3. Jangan pernah tinggalkan anak kepada orang lain. Selain dari isu keselamatan anak, tabiat meninggalkan anak ini sedikit sebanyak menyusahkan orang lain. Terdapat kelas/kursus yang menyediakan bilik untuk ibu yang disediakan dengan layar putih yang menayangkan secara langsung dari dewan utama kelas. Perlu di ingat, itu ialah bilik untuk ibu-ibu, bukan nursery untuk anda tinggal anak anda manakala anda menikmati kelas dengan selesa dalam dewan utama. Sudah lumrah kanak-kanak akan bermain dan berlari apabila bertemu rakan sebaya. Tidak terkecuali anak-anak kita. Namun, sekiranya ada ibunya di situ, kelakuan kanak-kanak boleh dikawal sebaiknya. Ibu-ibu lain perlu membahagikan tumpuan antara kelas dan menjaga anak masing-masing, adakah perlu bagi mereka mebahagikan lagi tumpuan menjaga anak kita, supaya kita boleh bersenang-senang menuntut ilmu?

4. Bagi kanak-kanak yang agak besar, adalah bijak untuk membawa buku-buku bacaan yang sesuai ataupun buku rampaian/aktiviti untuk memenuhkan masa mereka.

5. Bersabar. Menghadiri kelas bersama anak-anak memang agak memenatkan jiwa raga. Oleh itu, bersabarlah dalam menuntut ilmu. Semoga dapat pembalasan Allah yang sewajarnya.

(Visited 19 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *