Pembuka madah pemula ceritera

Teks : Liyana Anaqi

Assalamualaikum dan salam sejahtera, semoga kita semua sentiasa berbahagia dalam menjalani hidup.

Saya, Nur Liyana binti Abd Hamid, berasal dari Pulau Pinang. Dilahirkan pada November 1983 dan merupakan anak sulung daripada 5 beradik. Telah berkahwin dan mempunyai 4 cahayamata.

Mendapat pendidikan rasmi terakhir di Universiti Malaya. Dan masih belajar dari alam sehingga sekarang. Pada asalnya, saya bercita-cita menjadi wanita berkerjaya, namun ianya berubah selepas mendapat anak pertama. Siapa sangka kehadiran insan kecil mampu merubah azam yang kukuh selama ini.

Saya berhenti bekerja menjadi Pegawai Penyelidik setelah mendapat berita kandungan kedua. Persiapan berhenti kerja telah dilakukan sejak setahun sebelumnya. Saya menjalankan perniagaan online secara kecil-kecilan. Selepas berhenti, perniagaan mula dikembangkan perlahan-lahan sambil menumpukan perhatian kepada anak-anak.

Setelah 4 tahun berhenti, butik sulung dibuka. Ia adalah kesinambungan kepada perniagaan online dijalankan. Namun, ia tidak bertahan lama, cuma 2 tahun. Kedai di tutup atas banyak sebab peribadi yang saya sendiri tidak dapat korbankan demi kemajuan bisnes. Kedai yang maju dan tiada saingan di tempat saya terpaksa saya korbankan. Saya kembali ke rumah dan kembali menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang di sukai iaitu berkebun, menjahit, melakukan semua aktiviti dengan anak-anak. Pengalaman 2 tahun berkedai meletakkan saya di suatu tempat di mana saya terpaksa memilih di antara perkara-perkara penting dalam hidup. Ia merupakan pengalaman yang sangat berharga (dan mahal).

Kini, saya selesa di rumah, dengan objektif baru yang lebih mantap harapnya. Saya masih belajar dan akan terus belajar.

Kewujudan blog ini diharapkan  dapat merekodkan catatan dan tips dalam menjalani kehidupan seharian.

Saya boleh dihubungi melalui emel liyanahamid@gmail.com atau Facebook ;www.facebook.com/liyana.anaqi