4 perkara suami boleh membantu penyusuan ibu

Teks : Liyana Anaqi

Selamat menyambut Minggu Penyusuan Ibu Sedunia 2016. Tahun ini menandakan sudah 10 tahun saya memulakan perjalanan penyusuan ibu untuk anak-anak saya. Banyak perkara pahit manis yang di alami. Semua ini dapat ditempuh dengan semangat yang kental (ramai ahli keluarga kata saya ni keras kepala kerana masih bertahan bila keadaan perit), dan juga sokongan kuat dari suami saya. Suami saya adalah orang yang teguh berdiri di belakang saya sepanjang penyusuan. Saya banyak menggunakan nama suami semasa di ‘nasihati’ perkara-perkara yang boleh menggagalkan penyusuan ibu. Alhamdulillah, saya amat bersyukur dia amat memahami. Kami berdua mengetahui tentang penyusuan ibu hanya dua minggu sebelum melahirkan anak pertama. Sungguh saya tidak menyangka kami dapat pergi sejauh ini.

Apa suami boleh buat sekiranya isteri menyusu?

1. Saya masih bekerja semasa menyusukan anak pertama, suami amat membantu dalam pengurusan susu perahan. Suami amat teruja melihat hasil perahan dan menyaksikan anaknya sihat dan montel dengan susu ibu. Setiap hari, suami akan menyiapkan perkakas penyusuan, pam, botol dan pek penyejuk untuk saya. Setiap kali pulang dari kerja, susu perahan akan di uruskan oleh suami. Begitu juga dengan susu bekalan untuk anak.

2. Suami juga boleh membantu menyiapkan kerja-kerja rumah. Ibu menyusu (samada ibu bekerja atau tidak), memang selalu keletihan. Menyusukan seorang anak menghabiskan kalori seperti bersenam satu jam di gim, 3 kali seminggu. Saya masih ingat ayat suami saya apabila dia di ketawakan oleh rakan-rakan lelaki kerana pegang penyapu “semua kerja rumah aku boleh buat, aku boleh masak, kemas rumah, basuh baju. Cuma ada satu aku tidak boleh buat, menyusukan anak. Itu 100% kena taruh harapan pada isteri. Sekiranya cukup rehat membolehkan susu keluar lancar, maka biar aku buat kerja rumah, dan dia berehat”. Betapa saya amat menghargai pendiriannya itu.

3. Suami juga boleh menyediakan makanan berkhasiat untuk isteri. Sekiranya tidak dapat membantu dalam urusan pam dan susu, suami boleh membelikan makanan yang terbaik untuk isteri. Isteri berkongsi zat makanan seharian dengan anak. Kadang-kadang ia akan menyebabkan badan isteri menjadi lemah dan kurang bermaya. Malah, keadaan yang lemah ini menyebabkan isteri lebih rela rehat dan tidur dari makan. Jadi, suami boleh bantu dalam aspek penjagaan makan. Sekiranya perlu dibelikan makanan tambahan, boleh berbincang dengan isteri apakah makanan tambahan yang di perlukan.

4. Sokongan moral amat penting. Kata-kata seperti “kita boleh buat”, “susu awak cukup” amat bermakna apabila keluar dari mulut seorang suami. Berikan urutan untuk isteri. Ya, menyusu menyebabkan sakit pinggang dan lenguh-lenguh. Walaupun urutan itu tidak serius dan tidak menghilangkan sakit pun, namun belaian mesra seorang suami boleh menghilangkan stress isteri. Stress adalah musuh kepada penyusuan ibu.

Baik ibu bekerja atau ibu di rumah, penyusuan ibu memang mengambil banyak tenaga, masa, dan fokus ibu-ibu. Sekiranya ada seorang suami yang menyokong, perjalanan penyusuan akan terasa lebih senang.

Tidak dinafikan, ada juga ibu-ibu yang berjaya berseorangan, namun lebih ramai yang berputus asa kerana berasa keseorangan dalam perjuangan ini.

Selamat menyambut Minggu Penyusuan Ibu Sedunia 2016. Semoga semua ibu di rezekikan untuk menyusukan anak masing-masing. Tiada susu yang lebih baik untuk bayi selain susu ibu.