Roti Breadmaker

Teks & Foto : Liyana Anaqi

Sudah 2minggu lebih saya tidak ‘meroti’. Agak sibuk keluarga kami dengan perkahwinan adik, kem-kem sekolah.

Kini, kembali “meroti” sekali sehari. Anak-anak saya memang suka makan roti, tambah-tambah kalau mak yang buat. Sebelum ini, saya menguli dan membentuk roti dengan tangan, tetapi sudah tak mampu lagi nak menguli hari-hari, jadi saya dapatkan breadmaker dari Lazada.

Hanya sukat bahan, dan tekat “start’, selepas beberapa jam, sudah siap roti yang harum semerbak.

Satu buku roti telah siap untuk dimakan.

Resepi yang saya gunakan ialah:

1 cawan air
2 sudu besar gula
1/4 cawan minyak
1 sudu besar mentega (anggaran sahaja)
0.25oz yis segera
3 cawan tepung unbleached
1 sudu kecil garam.

Masukkan bahan mengikut turutan di atas, kemudian pilih setting Basic/Sandwich/White Bread , pilihan 2lb, dan tekan Start.

Breadmaker akan mula menguli, peram, uli semula, peram kali kedua dan bakar.

Selamat mencuba.

Selepas 30 minit, cuma 3 keping aje yang tinggal. Kesan ‘koyakan’ itu adalah kesan penggaul dalam breakmaker.

Petua lada masuk mata

Bila cabai masuk mata kiri, urut minyak di betis kanan. Vice versa.

Cam ngarut ja.

Alkisah, hari ni petik pucuk keledek, hajat di hati nak makan goreng belacan.

Sebesen pucuk ayah kau petik.

Cili kampung biasa dah habis. Maka saya guna la cili pedas membara ni. Apa kenama cili pun tak tau. Sekali plup terpercik di tepi mata. Tepi ja, bukannya dalam mata pun, tapi kepijaran dan kepedihan ibarat lava terpendam. Makin cuba di cuci, dilap makin pedih. Dah terbantut memasak. Saya gi panggil cik abe yang tengah sidai baju (rajin ko yah), mai pass baton masak ni. Dia laung “sapu minyak kat betis kanan!”. Eh kenapa ko, aku sakit di mata, ko suh sapu di betis? “Minyak apaaaa?” “Minyak apa pun bleh, minyak masak dah guna pun takpa.” Dia laung lagi. (Mau setaman tau saya pedih mata 😄😄)

Lesung batu yang bersalah, bersama bumbu belacan.
Cabai apa ntah. Pedas hamat

Kebetulan, pagi tadi ada buat bancuhan minyak untuk ayahnya. Capai terus, bismillah dan sapu-sapu tanpa rasa benda ni logik langsung. Apa, pedih mata sampai takleh buka, tapi sapu di betis.
Tapi, terkejutnya, menjadi! Slow slow mata boleh buka, slow slow pedih makin menghilang. Wah magik. Berapa lama? Kejap je. Tak sampai 3 minit pun. Ayam yang digoreng atas dapur pun tak sempat masak lagi apatah nak hangus. 

Lain kali, petua orang tua tua try dulu. Hihi. Camna dia jadi, nak kena kaji.

Ayahnya silap bantal. Sakit leher dan bahu. Bancuh minyak lavender+ginger+lemongrass untuk dia. Alang2 suh sapu tempat lain kot nak kurus skit. Haha
Keledek goreng belacan yang di idamkan. Mujur sedap.

Kesimpulannya, makan tengah hari yang sedap. Eh! 

Juraian kentang goreng

Teks & foto : Liyana Anaqi

Masa hendak masak ‘lunch’ hari ni, terasa adventure pulak. Jadi terhasillah kentang goreng ni. Ternampak dalam rancangan makan korea, dia buat sebagai hiasan main dish. Sedap pulak nampak.

Bahan2 :

Kentang dan minyak untuk deep fried.

Kentang tu sagat dengan penyagat keju. Nipis halus. Jurai2.

Saya buat 2 biji kentang untuk sebanyak tu.  Perisakan dengan garam secukup rasa dan tos sementara minyak nak panas.

Goreng dengan minyak banyak dan api sederhana sehingga keemasan. Angkat. Siap.

Tips : sila buat sekilo. Huhu tak cukup baq hang.

Siap. Ni hanya separuh dari yg disediakan. Macam biasa. Kalau tak hangit satu batch tak sah.

Sambutan? Hangat! Sekejap ja dah habis. Maka lain kali kalau nak buat sila buat sekilo. Tiba2 terbayang curah sos cili dan mayonis kat atas. Mmmmmm 

Halia goreng untuk berpantang

Teks dan foto : Liyana Anaqi

Masa saya berpantang bersalin, ada satu masakan air tangan suami yang saya paling suka. Ya halia goreng. Rasa terbuka selera dan sedap perut tak berangin.

Walaupun saya jual minyak pati, dan ada je minyak pati halia, tapi hirisan halia goreng la yang sedap dimakan dengan nasi panas, haha. Minyak pati tak menyangkut dengan nasi panas okay. (Gurau gurau)

1kg halia, dapat 3 botol kecik aje.

Macam mana nak buat? Senang amat.

  1. Bersihkan halia.
  2. Hiris nipis-nipis.
  3. Goreng dengan minyak banyak (deep fried)

Halia dibersihkan, buang kulit dan bilas

Hiris halia nipis-nipis, dan bersihkan sekali lagi. Toskan.

Halia goreng ini boleh dibuat awal-awal sebelum bersalin. Ia dapat disimpan lama (kalau tak habis dimakan la, haha).

Bagi yang berpantang makan makanan bergoreng, mungkin boleh mencuba “goreng” dengan air fryer.

Jangan buat lawak makan nasi panas dengan minyak pati halia (Ginger) ya. Tak sedap. Makan dengan halia goreng boleh makan bertambah-tambah. Minyak pati tu boleh tambah dengan mana-mana carrier oil pilihan dan buat minyak urut. Tu baru sedap.

Bagaimana nak buat pati bunga telang

Teks dan foto : Liyana Anaqi

Bunga telang ada banyak. Tapi tak cukup banyak nak buat apa-apa masakan. Nak buat macam mana?

Kita kumpul bunga telang, dan buat pati. Kutip aje bunga-bunga ni hari-hari, dan simpan di dalam freezer. Bila sudah cukup kuantitinya, kita buat pati.

Bila dah cukup, rebus bunga telang untuk mendapatkan warna birunya. Kalau boleh, pastikan bunga dalam keadaan bersih sebelum simpan. Jika nak basuh selepas dikeluarkan dari freezer, warnanya dah mula turun.

Rebus dengan air tapis. Anggaran air dan bunga ialah 3 : 1. 3cawan ir untuk 1 cawan bunga. Didihkan dengan api sederhana, sehingga ia menggelegak. Biarkan menggelegak dalam 5minit sahaja. Makin lama dididihkan makin terasa rumput pada pati. Tutup api dan sejukkan

Tapis bunganya selepas sejuk. Tengok, warnanya biru pekat. Boleh simpan dalam bekas.

Untuk separuh bekas aiskrim bunga telang, saya dapat sebotol 600ml pati, dan balance semangkuk kecil.

Yang balance tu, kita buat minum petang, minum dengan pisang goreng.

Ni pula adalah aiskrim bunga telang. Sirap telang yang dicampur gula organik atau gula merah akan jadi hujau (hijau saya tua sangat). Sirap telang campur lemon  akan jadi ungu. Menarik tak.

Resepi biskut sourdough

Teks dan foto : Liyana Anaqi

Biskut sourdough yang gebu

Sourdoh atau doh masam adalah cara tradisional “membela” yis liar. Soudough starter adalah yis liar yang digunakan untuk mendapat efek seperti yis segera biasa namun dengan lebih sihat. Sourdough juga dapat menguraikan gluten yang terdapat dalam tepung gandum agar menjadi lebih mudah di hadam. Sangat sesuai bagi yang mempunyai alahan terhadap gluten. (kadang-kadang orang ada alahan tapi tidak sedar, jadi kalau anak-anak ada kulit yang sensitif, anda mungkin mahu mencuba produk dari sourdough.)
Sebenarnya, saya mahu buat biskut kering yang rangup. Ala, biskut empat segi tu. Tapi anak-anak nak guna cookie cutter, maka, OK lah, teddies pun teddies lah.
Resepinya :
1 cawan sourdough starter
3 sudu besar mentega
*lebih kurang 1 cawan tepung gandum.
1/2 sudu kecil soda bikarbonat
Cara-caranya :
Campurkan sourdough starter dengan mentega. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sehingga boleh diuli menjadi doh yang tidak melekat di tangan.
Tinggalkan doh dalam bekas bertutup, atau tutup dengan cling wrap, selama sekurang-kurangnya satu jam.
Selepas satu jam, keluarkan doh dan letakkan di atas papan pencanai, perisakan dengan apa-apa perisa yang disukai. Saya masukkan sedikit garam, 1/2 sudu kecil soda bikarbonat, sedikit serbuk basil. Anda boleh guna keju, serbuk lada atau apa sahaja kesukaan anda. Uli semua bahan sehingga sebati.
Canaikan sehingga nipis menggunakan rolling pin. Terap sesuka hati. Ataupun hanya potong dengan pisau membentuk segi empat. Aturkan doh yang telah dibentuk ke dalam loyang, dan cucuk dengan garfu untuk membolehkan ia masak sempurna.
Bakar dengan suhu 160 darjah celcius selama 20 minit.
Tips : sekiranya canai tebal, biskut akan menjadi lembut dan gebu. Sekiranya dicanai nipis, ia akan menjadi rangup.
Aktiviti yang seronok dilakukan oleh anak-anak. 

Kurma merah, penggalak susu ibu

Teks : Liyana Anaqi

Hampir semua ibu-ibu menyusukan mencari-cari makanan penggalak susu ibu, terutamanya ibu bekerja yang memerah susu untuk anak. Lagi banyak stok susu, lagi tenang hati ibu, kan.

Dalam banyak-banyak makanan penggalak susu, kurma merah menjadi pilihan saya. Senang di simpan dan senang di sediakan.

Kurma merah mengandungi vitamin C 70-80 kali lebin tinggi dari epal dan anggur. Ia juga kaya dengan vitamin A, vitamin B1, vitamin B2, protein, kalsium, fosforus, zat besi dan magnesium. Kandunga vitaminnya yang tinggi menjadikan ia sesuai untuk mereka dalam proses penyembuhan.

Kandungan vitamin C yang tinggi akan menukarkan kolesterol berlebihan kepada asid hempedu. Ini dapat mengelakkan penyakit batu hempedu. Manakala fosforus dan zat besi penting untuk mengelakkan osteoporosis dan anemia di kalangan wanita.

Dalam masakan
Kurma merah senang di gandingkan dengan pelbagai jenis makanan. Kurma merah boleh di masukkan ke dalam pelbagai jenis sup untuk menambahkan khasiat kepadanya. Ia juga boleh dimasukkan kedalam masakan kacau goreng dan sambal hitam.

Untuk meransang air susu, saya rendam 10 biji kurma merah dalam satu jag air panas dan diminum sepanjang hari. Air masak boleh ditambah sekiranya air sudah habis. Alhamdulillah, tidak mengecewakan.

Kurma merah boleh didapati di kedai-kedai herba cina, dan juga di pasaraya, di bahagian rempah ratus kering.

Resepi gimbab

Teks : Liyana Anaqi.

Nampak sedap? Selalu tengok orang buat, tapi nak buat tak reti. Dan selalunya sukar mendapat bahan. Makanan ini dipanggil sushi atau gimbab.

Di sini saya kongsikan resepi yang telah diubah suai dengan bahan-bahan yang ada di dapur saya.

Ada 2 bahagian dalam resepi ini, iaitu, nasi dan filling.

Nasi di masak seperti biasa menggunakan periuk nasi. Beras yang di gunakan adalah campuran beras biasa dan bera pulut dengan kadar 3:1. Masak dengan sukatan air seperti masak nasi biasa. Setelah nasi masak, gaulkan nasi dengan sedikit garam dan minyak.

Inti pula boleh dibuat dengan pelbagai piihan.

1. Telur dadar yang di potong panjang.
2. Lobak merah yang di kacau goreng dengan bawang dan lada hitam.
3. Timun di potong panjang, dan di gaulkan dengan garam dan di ketepikan. Buang airnya sebelum digunakan.
4. Bayam yang di celur dandi toskan.
5. Filet ikan juga boleh digunakan.
6. Daging yang di potong kecil dan digoreng lembut.

Boleh pilih mana-mana inti kesukaan. 2 hingga 3 jenis inti.

Untuk menyediakan roll gimbab, gunakan kulit rumpai laut dan rolling mat.

Kulit sushi, atau nori

Sushi mat. Boleh didapati berhampiran nori.

Layurkan nori atas api selama 1 ke 2 saat. Hampar nori ke atas sushi mat. Sendukkan nasi ke atas nori dengan meninggalkan lebih kurang 2 sentimeter di hujung nya. Susun inti ke atas nasi, dan gulungkan dengan bantuan  sushi mat.
Di bawah adalah cara bagaimana menggulung gimbab. Potong dengan pisau bersih yang sentiasa di lap dengan kain lembab, untuk mendapatkan potongan yang kemas.

Masak popcorn di rumah tanpa periuk ajaib.

Teks : Liyana Anaqi

Kami suka popcorn. Anda bagaimana? Makanan ringan yang sedap bagi orang dewasa dan kanak-kanak. Sekiranya anda seperti saya yang agak cerewet bila membeli popcorn, mungkin anda boleh membuatnya sendiri di rumah. Jadikan popcorn versi lebih sihat. Tiada periuk ajaib? Tiada masalah.

Homemade popcorn

Bahan-bahannya :
Corn kernel (boleh didapati di kedai-kedai pembekal bakeri)
Minyak sawit atau minyak kelapa
Pemanis (gula atau madu)
Mentega.
Cara-caranya :
1. Panaskan lebih kurang 3 sudu minyak dalam kuali. Masukkan 2 3 biji kernel ke dalam minyak. Apabila kernel pop, maka minyak telah panas.
Saya guna minyak kelapa dara, jadi tidak nampak minyaknya.

2. Tutup api, dan masukkan kernel ke dalam minyak.Anggaran cuma terdapat selapis kernel didalam minyak tanpa bertindan. Kemudian, kira 1 hingga 30. Ini adalah tips supaya kesemua kernel pop serentak dan mengurangkan bilangan yang hangit. 
Maaf, gambar bergegar. Mari kira beramai-ramai. Satu….

3. Tutup kuali dengan tudung periuk, dan buka api kecil ke sederhana. Selepas seketika, sudah boleh kedengaran bunyi pop pop. Tunggu sehingga bunyi pop pop berkurangan dan seterusnya hilang. Boleh buka tudung periuk.
Puff, dah kembang.

4. Keluarkan popcorn dari kuali. Popcorn ini sudah boleh di nikmati, namun untuk lebih sedap, mari kita perisakan dia.
5. Dalam kuali yang sama, panaskan sedikit gula sehingga ia cair. Hati-hati jangan sampai hangus. Apabila gula sudah cair, masukkan sepotong mentega. Setelah mentega cair, masukkan semula popcorn tadi dan kacau untuk sebatikan.
Alhamdulillah, siap. Mudah, cepat dan jimat. Tips tambahan : boleh gunakan periuk stock pot ganti kuali untuk lebih mudah pengendalian.